Saturday, April 3, 2010

PELBAGAI KANSER TULANG

 
Oleh
DR. MOHD MAHAMUD MUSMAN Pakar Ortopedik & Traumatologi,
Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam

PEMBEDAHAN bagi membuang bahagian yang diserang kanser merupakan antara cara rawatan untuk kanser tulang.

KANSER (barah) tulang utama (primary) boleh berlaku di mana-mana bahagian tulang, tulang rawan dan dari bahagian tisu fiber. Kanser tulang jenis kedua (secondary) pula adalah sebahagian besar kanser tulang yang berasal daripada bahagian lain badan selain tulang akibat penyebaran sel kanser (metastatik).

Kanser tulang metastasik boleh berasal daripada bahagian badan lain, kebanyakannya berasal daripada prostat, payudara, paru-paru, buah pinggang, usus besar dan kelenjar tiroid. Selalunya punca kanser tulang terjadi adalah tidak diketahui. Kadangkala, kanser tulang juga mungkin berkaitan dengan radiasi berion (ionizing radiation).

Antara faktor-faktor lain yang boleh menggalakkan kejadian kanser tulang adalah :
 
1. Penyakit Paget
 
2. Fibrous Dysplasia
 
3. Retinoblastoma (Genetik)
 
4. Sindrom Tertentu Seperti Penyakit Gardner Dan Penyakit Ollier

KANSER TULANG PRIMARY

Kira-kira 40 peratus kanser tulang jenis ini adalah berbahaya (malignan) sementara 60 peratus lagi tidak berbahaya (benign). Contoh kanser tulang primary yang benign adalah seperti osteochondroma, sel tumor gergasi, chondroma dan osteoid osteoma. Contoh kanser tulang yang berasal dari tisu fiber pula adalah sista (cyst) tulang ringkas, sista tulang aneurysmal dan fibrous dysplasia.

Kanser tulang primary yang malignan pula terdiri daripada osteosarcoma, chondrosarcoma, Ewing‘s tumour dan malignant fibrous histiocytoma. Kanser tulang primary selalunya berlaku pada pesakit yang muda, terutamanya antara umur 10 hingga 25 tahun dengan lebih kurang 80 peratus berlaku di bahagian sendi lutut.

Kanser tulang primary malignan jarang berlaku dan hanya merangkumi kurang satu peratus daripada semua kematian yang melibatkan kanser yang malignan. Punca terjadinya kanser tulang malignan tidak diketahui tetapi kanser tulang benign kadangkala boleh menjadi malignan.

PRIMARY, BENIGN

OSTEOCHONDROMA


Kanser tulang jenis ini berasal dari bahagian tulang rawan dan boleh tumbuh hanya satu atau banyak secara serentak (juga dikenali sebagai penyakit Ollier atau exostoses). Selalunya benign, kanser tulang ini boleh berlaku pada sebarang usia, kebanyakannya pada usia muda. Ia boleh tumbuh kecil dan kemudian saiznya semakin besar, selalunya berada pada sisi sendi dan tidak sakit. Sekiranya saiznya semakin besar, kesakitannya juga mungkin bertambah dan bilangannya menjadi banyak serta kemungkinan besar akan menjadi malignan. Gambar X-ray akan menunjukkan ‘stippled calcification’ pada bahagian yang terlibat.

OSTEOID OSTEOMA

Kanser tulang jenis ini merangkumi 10 peratus bilangan kanser tulang yang benign. Kanser ini selalunya berlaku antara umur 10 hingga 20 tahun, dan jarang berlaku pada mereka berumut lebih 30 tahun. Kanser jenis ini juga lebih kerap berlaku pada lelaki dengan nisbah 3:1 berbanding golongan wanita. Selalunya 28 peratus ketumbuhan kerap berlaku pada tulang paha (femur), tibia (25 peratus), tulang belakang (10 peratus) dan humerus (tulang lengan atas).

Pesakit akan mengalami kesakitan dan bengkak pada tulang yang terlibat, selalunya semakin teruk pada sebelah malam tetapi rasa sakit boleh menjadi reda dengan mengambil ubat tahan sakit. Radiograf pada tulang yang terlibat selalunya menunjukkan ‘radiolucent lesion’ yang berbentuk bulat (nidus), berukuran satu sentimeter dan dikelilingi kawasan dikenali ‘dense sclerosis’.

SISTA TULANG RINGKAS
Sista jenis ini kerap terjadi pada bahagian metaphysis tulang humerus atau tulang paha tetapi sebab ia terjadi masih tidak diketahui.

Imbasan X-ray akan menunjukkan kawasan radiolucent di bahagian yang berlakunya tumor dan pesakit selalunya hadir dengan rasa sakit pada tulang yang terlibat atau sakit yang teruk akibat tulang tersebut patah.

SISTA TULANG ANEURYSMAL
Sista jenis ini boleh berlaku pada mana-mana tulang, selalunya berlaku pada bahagian metaphysis tulang panjang dan tulang belakang. Gambar X-ray akan menunjukkan kawasan ‘eccentric’, ‘expansile’ atau ‘lytic’ ‘lesion’ yang menyebabkan tulang bengkak dan bahagian korteks menjadi tipis. Bahagian sistanya pula dibahagikan kepada beberapa ruangan yang mengandungi darah.

FIBROUS DYSPLASIA

Kanser tulang jenis ini boleh melibatkan satu atau beberapa tulang. Bahagian tulang yang terlibat biasanya digantikan dengan fibrous stroma yang mengandungi tulang yang metaplastik. Gambar X-ray selalunya menunjukkan gambaran seperti bebola dan jalur.

SEL TUMOR GERGASI

Kanser tulang jenis ini selalunya benign, merangkumi lima peratus daripada semua jenis kanser tulang. Ia kerap berlaku pada golongan berumur 30-an, pada bahagian hujung tulang femur, pangkal tulang tibia, pangkal tulang humerus dan hujung tulang radius. Pesakit akan mengalami rasa sakit dan bengkak pada bahagian yang terlibat atau pesakit mudah mengalami patah tulang. Kanser ini juga mampu berubah menjadi kanser tulang yang malignan. Radiograf selalunya menunjukkan ‘lytic lesion’ yang semakin merebak pada bahagian terlibat.

PRIMARY, MALIGNAN

OSTEOSARCOMA


Kanser tulang jenis ini kerap berlaku, meliputi 20 peratus daripada semua kanser tulang. Ia boleh berlaku pada semua peringkat umur selalunya antara umur 10 hingga 25 tahun dan lebih kerap berlaku kepada lelaki. Kanser ini sering ditemui di bahagian sendi lutut (40 peratus), bahagian pangkal tulang humerus (lapan peratus) dan pangkal tulang femur (tujuh peratus). Pesakit akan mengalami rasa sakit dan bengkak pada bahagian tulang yang terlibat dan rasa sakit serta bengkak ini boleh berlaku dan berubah dengan cepat. Sekiranya ia berlaku dekat dengan sendi, maka pergerakan pesakit juga akan terganggu.

Gambar X-ray akan menunjukkan ‘sclerotic intramedullary lesion’ pada bahagian terbabit yang membengkak dan kebanyakannya memusnahkan struktur tulang.

CHONDROSARCOMA

Kanser tulang jenis ini merupakan jenis malignan yang kedua paling banyak berlaku selepas osteosarcoma dan ianya boleh menjadi agresif. Kanser ini boleh berlaku pada semua peringkat umur, selalunya antara 30 hingga 55 tahun. Bahagian yang paling kerap terjadinya kanser ini adalah tulang pelvis (30 peratus), bahagian pangkal femur (15 peratus), tulang rusuk (11 peratus), bahagian sendi bahu dan juga sendi lutut. Pesakit akan mengalami kesakitan dan bengkak di bahagian yang terlibat sementara gambar X-ray akan menunjukkan kawasan yang berlobus (lobulated) dan yang berbeza ketumpatannya. Ia boleh menyebabkan tulang membengkak dan memusnahkan struktur tulang.

EWING‘S SARCOMA

Kanser tulang jenis ini jarang berlaku dan hanya merangkumi lima peratus kanser tulang yang malignan. Ia paling kerap berlaku pada kanak-kanak biasanya antara umur lima hingga 20 tahun, selalunya pada tulang pelvis, tulang kaki, sendi bahu dan tulang rusuk. Pesakit akan mengalami kesakitan, bengkak dan juga demam sementara gambar X-ray akan menunjukkan kawasan dikenali ‘moth-eaten lesion’.

MALIGNANT FIBROUS HISTIOCYTOMA
Kanser jenis juga jarang berlaku dan lebih cenderung menyerang golongan dewasa berbanding kanak-kanak. Ia biasanya terjadi pada tulang femur, tibia dan humerus.

DIAGNOSIS

1. RADIOGRAFI


X-ray adalah paling utama, digunakan untuk menentukan bahagian tulang yang terlibat, sama ada satu tulang sahaja atau banyak. Ciri-ciri yang terdapat pada X-ray boleh menentukan jenis kanser tulang (primary atau metastatik, benign atau malignan) pada bahagian yang terlibat.

2. IMBASAN TULANG

Untuk menentukan keadaan (extension) kanser tulang tersebut, sama ada satu atau banyak, atau berada di bahagian tulang yang lain.

3. IMBASAN CAT (COMPUTERIZED AXIAL TOMOGRAPHY) ATAU MRI (MAGNETIC RESONANCE IMAGING)
Imbasan CAT untuk menentukan sama ada bahagian kanser tulang melibatkan bahagian ‘cortical’ tulang, menentukan sejauh mana kanser tersebut berlaku dan menentukan sama ada tulang yang terlibat patah atau tidak.

MRI boleh menentukan kawasan tisu yang terlibat sama ada melibatkan kawasan ‘intra-medullary’ dan juga kawasan yang mengalami pembengkakan.

4. BIOPSI

Biopsi boleh dilakukan, biasanya untuk kanser tulang yang malignant. Biopsi dilakukan bagi mendapatkan sebahagian tisu dari bahagian tulang yang terlibat dan diperlukan untuk doktor membuat diagnosis yang tepat supaya rawatan sewajarnya dapat diberikan.

Setelah imbasan CAT atau MRI dan juga biopsi bahagian tulang terlibat dijalankan, pengelasan kanser tulang dapat dilakukan dan rawatan bersesuaian dapat diberikan.

RAWATAN

1. Pembedahan meruapakan cara rawatan paling berkesan untuk sebahagian kanser tulang primary yang benign. Sista tulang pula memerlukan rawatan ‘curretage’ dan graf tulang (bone grafting).

Bagi kanser tulang yang berasal dari tulang rawan seperti osteochondroma, ketumbuhan berkenaan perlu dibuang melalui pembedahan dengan tujuan untuk mengelakkan tulang patah, mengurangkan kesakitan dan mengelakkan dari menjadi malignant kelak.

Kanser tulang jenis osteoid osteoma juga memerlukan rawatan secara pembedahan untuk membuang bahagian ‘nidus’ untuk mengurangkan bahagian yang mengalami kesakitan.

Kanser sel tumor gergasi (giant cell tumour) pula memerlukan rawatan yang lebih agresif. Rawatan pembedahan seperti ‘curettage and bone grafting’ biasa dilakukan, tetapi terdapat 60 peratus kemungkinan ia boleh berulang. Kaedah radical curettage boleh mengurangkan peratusan kanser ini berulang sehingga serendah 15 - 20 peratus sahaja. Selain itu, pemotongan bahagian yang terjejas (amputasi) atau pemotongan dan pembentukan semula tulang juga boleh dilakukan.

2. Rawatan untuk kanser tulang primary yang malignant adalah lebih rumit serta sukar dan memerlukan penyiasatan rapi dan biopsi dilakukan. ‘Surgical staging’ diperlukan bagi menentukan cara rawatan yang terbaik.

* Pembedahan (amputasi atau ‘limb salvage’) adalah bergantung kepada pengelasan (surgical staging) bahagian kanser tulang yang terlibat.
 
* Pembentukan semula bagi menggantikan bahagian tulang yang dibuang (diaphyseal defect) boleh dibuat dengan graf tulang (autograft atau allograft). Bahagian tiruan (custom-made prosthesis) boleh juga digunakan untuk menggantikan bahagian kanser tulang yang telah dibuang.
 
* Rawatan lain seperti radioterapi dan kemoterapi sering dilakukan untuk sebahagian besar kanser tulang yang malignan. Kemoterapi juga menjadi rawatan sampingan moden utama untuk osteosarcoma.


SINONIM : WANITA DAN KESIHATAN TULANG


PROGRAM pemeriksaan kesihatan tulang dapat memberikan lebih pendedahan kepada umum tentang masalah kesihatan tulang, cara mengatasinya dan kaedah pencegahan berkesan.
 
TARIKH 8 Mac 2008 bukan sahaja bermakna rakyat Malaysia sekali lagi menjalankan tanggungjawab mengundi malahan merupakan hari sambutan untuk wanita di seluruh dunia.

Disambut pada 8 Mac setiap tahun, Hari Wanita Antarabangsa 2008 jatuh pada hari yang sama dan merupakan satu acara untuk mengingatkan semua betapa pentingnya kehadiran wanita dalam hidup kita.

Ibu, isteri, kakak, adik, mak cik atau nenek, hidup lebih ceria dengan adanya wanita dan sifat-sifat mereka yang di antaranya masih menjadi misteri bagi kaum lelaki.

Dengan ketahanan yang menakjubkan, golongan wanita di seluruh dunia bukan sahaja berjaya merentasi pelbagai pahit maung malahan dapat menahan kesakitan tidak terperi dalam membawa nyawa baru ke dunia.

Namun, dari segi kesihatan, wanita juga terpaksa mengharungi pelbagai rintangan dan kesakitan akibat penyakit seperti kanser, masalah hormon dan masalah tulang.

Selain risiko kanser khusus seperti kanser payudara, kanser pangkal rahim dan kanser ovari yang dihadapi wanita, masalah kesihatan tulang wanita kini makin membimbangkan.

Wanita bukan sahaja mempunyai ketumpatan tulang lebih rendah berbanding lelaki, malahan menghadapi risiko tulang rapuh lebih tinggi selepas menopaus.

Badan manusia mempunyai 206 tulang yang membentuk sistem kerangka dalaman untuk melindungi, menyokong dan mengekalkan bentuk serta pergerakan badan.

Sistem kerangka ini juga menyimpan 99 peratus bekalan kalsium badan, menjadikannya jauh lebih keras berbanding struktur badan lain.

Komposisi tulang terdiri daripada :
 
1. 10 peratus matriks protein fleksibel
 
2. 65 peratus mineral tidak larut seperti kalsium dan fosforus
 
3. 25 peratus air
 
4. Sebilangan kecil garam mineral sampingan seperti magnesium, sodium dan bikarbonat.

Tulang adalah struktur hidup dan memerlukan tenaga (makanan) berterusan untuk mengekalkan bentuk dan fungsinya.

Tulang juga mempunyai dua lapisan iaitu lapisan luar yang keras dan kuat (corticol) dan bahagian dalam yang lembut (trabecular).

Tulang tidak dibina dengan hanya satu bentuk kerana tulang yang keras dan padat sepenuhnya akan menjadikannya terlalu berat seterusnya menghalang pergerakan badan yang lancar.

Dua struktur (lembut dan keras) ini menjadikan kerangka badan yang cukup keras untuk melindung dan menyokong tetapi cukup ringan untuk memudahkan pergerakan.

PATAH TUMBUH

Osteoporosis adalah antara penyakit tulang yang paling banyak berlaku kini, terutamanya kepada wanita.

Secara terus, osteoporosis bermakna ‘tulang banyak liang’ dan berlaku apabila tulang corticol menjadi nipis dan rapuh sementara keutuhan struktur tulang trabecular turut terjejas.

Masalah tulang ini juga tidak mempunyai simptom khusus memandangkan kehilangan ketumpatan dan kualiti tulang berlaku secara berperingkat dan tidak menyebabkan kesakitan kepada penghidap.

Biasanya, osteoporosis dikesan apabila keretakan tulang berlaku walaupun penghidap hanya mengalami hentakan yang lemah pada tulang berkenaan.

Dianggarkan sehingga 1.6 juta keretakan akibat osteoporosis berlaku setiap tahun.

Hampir 25 peratus daripada pesakit keretakan pinggul meninggal dunia dalam tempoh satu tahun sementara kira-kira 50 peratus pesakit akan hilang upaya kekal.

Faktor risiko berlakunya osteoporosis boleh dibahagikan kepada dua iaitu faktor boleh ubah dan tidak boleh ubah.

Risiko tidak boleh ubah termasuk jantina, sejarah keluarga dengan osteoporosis (genetik), kurus atau mempunyai struktur kerangka kecil.

Kira-kira 80 peratus wanita dianggarkan akan mempunyai masalah tulang rapuh terutamanya selepas menopaus.

Golongan wanita boleh kehilangan sehingga 20 peratus ketumpatan asal tulang mereka hanya selepas lima hingga tujuh tahun menopaus.

Wanita yang menopaus lebih awal (sebelum umur 45 tahun) atau telah menjalani pembedahan membuang keseluruhan uterus juga menghadapi risiko osteoporosis yang lebih tinggi

Sesetengah wanita boleh hilang sehingga satu pertiga (33 peratus) struktur tulang mereka menjelang usia 75 tahun.

Golongan lelaki yang mempunyai 30 peratus lebih banyak ketumpatan tulang hanya akan kehilangan sekitar 15 peratus struktur tulang mereka menjelang usia 75 tahun.

Risiko boleh ubah pula melibatkan faktor merokok, tidak banyak bergerak, nutrien tulang yang cukup, pengambilan alkohol dan juga kafein.

Jumlah pengambilan kafein, alkohol dan merokok menentukan tahap peningkatan risiko masalah tulang dalam jangka panjang.

Senaman seperti joging pula dapat membantu menguatkan tulang serta meningkatkan jisim dan kekuatan otot.

Pengambilan nutrien seperti kalsium, vitamin D, magnesium dan zink dapat mengurangkan risiko osteoporosis dan mengekalkan kesihatan tulang.

MASALAH DUNIA

Bagi Dr. Chan Chee Howe yang telah lama menjadi pakar ortopedik dan pakar bedah trauma, penyakit tulang adalah masalah kesihatan yang dihadapi di seluruh dunia terutamanya dengan peningkatan usia penduduk.

“Asia sahaja akan mencatatkan 50 peratus daripada keseluruhan kes retak tulang pinggul menjelang tahun 2050.

“Selain peningkatan usia penduduk, kadar aktiviti fizikal yang semakin rendah dengan peningkatan usia turut meningkatkan kadar kemerosotan tulang,” jelasnya.

Katanya lagi, senaman seperti berjoging, berjalan dengan pantas dan tenis dapat membantu mengekalkan kekuatan tulang serta memastikan tulang berada dalam keadaan baik.

Dr. Chee Howe menyatakan badan manusia memerlukan antara 800 hingga 1,000 miligram (mg) kalsium setiap hari.

“Golongan wanita yang menghadapi risiko osteoporosis yang lebih tinggi perlu memastikan keperluan kalsium ini dipenuhi untuk mengelakkan masalah struktur tulang.

“Mereka perlu minum lima gelas susu setiap hari memandangkan segelas susu hanya mempunyai 200mg kalsium,” katanya.

Beliau turut mendedahkan satu pertiga daripada mereka yang telah melangkau usia 80 tahun menghadapi risiko keretakan tulang, bukan sahaja akibat tulang rapuh malahan akibat otot yang lemah.

Pencegahan menjadi cara utama untuk mengatasi masalah osteoporosis tetapi langkah segera perlu diambil bagi memastikan usia emas tidak dihabiskan dengan pelbagai masalah tulang.

Menurut Dr. Chee Howe, ibu yang menyusu juga tidak terkecuali daripada masalah tulang dan perlu memastikan diri mereka mendapat kalsium secukupnya.

“Wanita melebihi umur 50 tahun pula perlu menjalani ujian tulang secara berkala bagi memastikan tahap kesihatan tulang dan menilai cara pengurusan tulang yang terbaik,” tegasnya.

CORTICOL :
 
1. Juga dikenali sebagai tulang tumpat yang membentuk lapisan perlindungan luar kepada semua tulang kerangka badan
 
2. Struktur padat dan keras
 
3. Mewakili hampir 80 peratus jisim tulang
 
4. Ketahanan tinggi terhadap tekanan melengkung atau hentakan
 
5. Kurang liang, antara lima hingga 10 peratus sahaja.

TRABECULAR :
 
1. Juga dikenali sebagai tulang span
 
2. Kurang tumpat, lebih elastik
 
3. Wakili 20 % jisim tulang
 
4. Mewakili sebahagian besar tulang di tengkorak, tulang rusuk, pelvis dan tulang belakang
 
5. Struktur seperti sarang lebah (honeycomb)
 
6. Banyak liang antara 50 hingga 90 peratus.

PROGRAM KESIHATAN TULANG
Anlene keluaran Fonterra Brands (Malaysia) yang merupakan antara jenama utama susu dengan kandungan tinggi nutrien tulang, telah mengadakan Program Pemeriksaan Kesihatan Tulang secara percuma yang bermula pada Ogos 2006.

Lebih 14,000 warga Malaysia telah mengambil bahagian dalam program tersebut dan membekalkan Anlene dengan data mengenai keadaan kesihatan tulang rakyat negara ini.

Daripada jumlah tersebut, 61 peratus merupakan wanita dan 39 peratus lagi lelaki di antara umur 30 hingga 90 tahun.

Program berkenaan turut berjalan di seluruh negara, bandar atau luar bandar, dengan penyertaan bangsa Melayu, Cina, India dan bangsa-bangsa lain, termasuk golongan imigran.

Data dari setiap peserta juga disimpan rapi dengan persetujuan setiap individu, tanpa sebarang petanda khas yang boleh mengenal pasti pemilik maklumat yang direkodkan itu.

Pakar Diet dan Pengurus Penyelidikan Nutrisi, Fonterra Brands Ltd., Aaron Lambert menjelaskan program dengan kerjasama GE healthcare itu berjaya membantu peserta menilai dan merancang penjagaan kesihatan tulang mereka.

“Dengan menggunakan alat GE Achilles Ultrasanometer, penganjur program berkenaan dapat menilai tahap kesihatan tulang berdasarkan ketumpatan tulang tumit kaki.

“Selain imbasan tulang percuma, peserta juga diberikan maklumat mengenai kesihatan tulang, penilaian risiko masalah tulang dan perundingan percuma dengan pakar,” katanya.

Menurut Lambert, tulang tumit kaki amat sesuai sebagai penanda aras kesihatan tulang kerangka badan kerana fungsinya yang menampung berat badan dan menjadi antara yang paling awal cedera jika terdapat masalah pada tulang.

Tambahnya, tulang tumit juga mempunyai jumlah tulang trabecular yang banyak dan mudah diimbas kerana tidak diliputi terlalu banyak tisu dan otot.

Lambert menyatakan dirinya terkejut dengan hasil analisis data yang diperoleh daripada program berkenaan.

“Satu daripada dua wanita (50 peratus) daripada wanita melebihi umur 50 tahun berada di kalangan mereka yang mempunyai risiko lebih tinggi menghidap penyakit tulang berbanding golongan dewasa normal.

“Penyakit tulang sememangnya satu masalah besar bagi rantau Asia dan Malaysia tidak terkecuali kerana ramai rakyat negara ini tidak mendapat nutrien tulang secukupnya,” dakwanya.

Walaupun program berkenaan hanya untuk meningkat kesedaran umum dan bukan untuk diagnosis penyakit tulang, Lambert menegaskan tindakan segera perlu diambil untuk membekalkan nutrien secukupnya kepada tulang.

Selain bekalan nutrien, tahap penyerapan nutrien juga penting. Pengambilan secukupnya nutrien seperti kalsium menjadi sia-sia jika tidak diserap oleh tulang.

Kitaran pembaharuan tulang merupakan antara cara semula jadi tulang mengukuhkan strukturnya dengan menggantikan sel tulang yang lama dengan sel tulang baru.

Bukan seperti batu, sel-sel tulang perlu dibekalkan dengan nutrien secukupnya bagi memboleh proses pembaharuan ini diteruskan dan mengelakkan kemerosotan struktur kerangka badan.

Analisis program berkenaan turut menunjukkan bangsa Melayu merupakan yang paling banyak mencatatkan purata markah berisiko tinggi.

Bangsa India yang menjadikan susu sebagai antara menu harian mereka pula didapati paling kurang mencatatkan purata markah berisiko tinggi.

PENYAKIT TULANG DALAM GENETIK


PENGKAJI telah mengenal pasti dua mutasi genetik yang meningkatkan risiko osteoporosis dan kecederaan tulang yang berkaitan.

Penemuan yang dilaporkan dalam jurnal perubatan Lancet ini diperhatikan dalam kalangan 20 peratus daripada individu yang diuji.

Pengkaji di Kolej King, London, Tim Spector dan Brent Richards, melaporkan mereka dapat mengenal pasti kaitan antara penurunan ketumpatan mineral tulang dan perubahan kromosom dalam 2,094 gen kembar perempuan.

Pada kromosom 11, perubahan itu dikaitkan dengan 30 peratus peningkatan risiko mengalami osteoporosis dan kecederaan yang berkaitan. Bagi kromosom 8, mutasi yang berlaku meningkatkan risiko itu sehingga 20 peratus.

Untuk mereka yang mengalami kedua-dua perubahan, risiko mereka melonjak sehingga 30 peratus.

Kedua-dua gen ini adalah sasaran penting untuk perawatan dan ubat untuk merawatnya kini sedang dibangunkan.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...