Saturday, April 3, 2010

SINONIM : WANITA DAN KESIHATAN TULANG


PROGRAM pemeriksaan kesihatan tulang dapat memberikan lebih pendedahan kepada umum tentang masalah kesihatan tulang, cara mengatasinya dan kaedah pencegahan berkesan.
 
TARIKH 8 Mac 2008 bukan sahaja bermakna rakyat Malaysia sekali lagi menjalankan tanggungjawab mengundi malahan merupakan hari sambutan untuk wanita di seluruh dunia.

Disambut pada 8 Mac setiap tahun, Hari Wanita Antarabangsa 2008 jatuh pada hari yang sama dan merupakan satu acara untuk mengingatkan semua betapa pentingnya kehadiran wanita dalam hidup kita.

Ibu, isteri, kakak, adik, mak cik atau nenek, hidup lebih ceria dengan adanya wanita dan sifat-sifat mereka yang di antaranya masih menjadi misteri bagi kaum lelaki.

Dengan ketahanan yang menakjubkan, golongan wanita di seluruh dunia bukan sahaja berjaya merentasi pelbagai pahit maung malahan dapat menahan kesakitan tidak terperi dalam membawa nyawa baru ke dunia.

Namun, dari segi kesihatan, wanita juga terpaksa mengharungi pelbagai rintangan dan kesakitan akibat penyakit seperti kanser, masalah hormon dan masalah tulang.

Selain risiko kanser khusus seperti kanser payudara, kanser pangkal rahim dan kanser ovari yang dihadapi wanita, masalah kesihatan tulang wanita kini makin membimbangkan.

Wanita bukan sahaja mempunyai ketumpatan tulang lebih rendah berbanding lelaki, malahan menghadapi risiko tulang rapuh lebih tinggi selepas menopaus.

Badan manusia mempunyai 206 tulang yang membentuk sistem kerangka dalaman untuk melindungi, menyokong dan mengekalkan bentuk serta pergerakan badan.

Sistem kerangka ini juga menyimpan 99 peratus bekalan kalsium badan, menjadikannya jauh lebih keras berbanding struktur badan lain.

Komposisi tulang terdiri daripada :
 
1. 10 peratus matriks protein fleksibel
 
2. 65 peratus mineral tidak larut seperti kalsium dan fosforus
 
3. 25 peratus air
 
4. Sebilangan kecil garam mineral sampingan seperti magnesium, sodium dan bikarbonat.

Tulang adalah struktur hidup dan memerlukan tenaga (makanan) berterusan untuk mengekalkan bentuk dan fungsinya.

Tulang juga mempunyai dua lapisan iaitu lapisan luar yang keras dan kuat (corticol) dan bahagian dalam yang lembut (trabecular).

Tulang tidak dibina dengan hanya satu bentuk kerana tulang yang keras dan padat sepenuhnya akan menjadikannya terlalu berat seterusnya menghalang pergerakan badan yang lancar.

Dua struktur (lembut dan keras) ini menjadikan kerangka badan yang cukup keras untuk melindung dan menyokong tetapi cukup ringan untuk memudahkan pergerakan.

PATAH TUMBUH

Osteoporosis adalah antara penyakit tulang yang paling banyak berlaku kini, terutamanya kepada wanita.

Secara terus, osteoporosis bermakna ‘tulang banyak liang’ dan berlaku apabila tulang corticol menjadi nipis dan rapuh sementara keutuhan struktur tulang trabecular turut terjejas.

Masalah tulang ini juga tidak mempunyai simptom khusus memandangkan kehilangan ketumpatan dan kualiti tulang berlaku secara berperingkat dan tidak menyebabkan kesakitan kepada penghidap.

Biasanya, osteoporosis dikesan apabila keretakan tulang berlaku walaupun penghidap hanya mengalami hentakan yang lemah pada tulang berkenaan.

Dianggarkan sehingga 1.6 juta keretakan akibat osteoporosis berlaku setiap tahun.

Hampir 25 peratus daripada pesakit keretakan pinggul meninggal dunia dalam tempoh satu tahun sementara kira-kira 50 peratus pesakit akan hilang upaya kekal.

Faktor risiko berlakunya osteoporosis boleh dibahagikan kepada dua iaitu faktor boleh ubah dan tidak boleh ubah.

Risiko tidak boleh ubah termasuk jantina, sejarah keluarga dengan osteoporosis (genetik), kurus atau mempunyai struktur kerangka kecil.

Kira-kira 80 peratus wanita dianggarkan akan mempunyai masalah tulang rapuh terutamanya selepas menopaus.

Golongan wanita boleh kehilangan sehingga 20 peratus ketumpatan asal tulang mereka hanya selepas lima hingga tujuh tahun menopaus.

Wanita yang menopaus lebih awal (sebelum umur 45 tahun) atau telah menjalani pembedahan membuang keseluruhan uterus juga menghadapi risiko osteoporosis yang lebih tinggi

Sesetengah wanita boleh hilang sehingga satu pertiga (33 peratus) struktur tulang mereka menjelang usia 75 tahun.

Golongan lelaki yang mempunyai 30 peratus lebih banyak ketumpatan tulang hanya akan kehilangan sekitar 15 peratus struktur tulang mereka menjelang usia 75 tahun.

Risiko boleh ubah pula melibatkan faktor merokok, tidak banyak bergerak, nutrien tulang yang cukup, pengambilan alkohol dan juga kafein.

Jumlah pengambilan kafein, alkohol dan merokok menentukan tahap peningkatan risiko masalah tulang dalam jangka panjang.

Senaman seperti joging pula dapat membantu menguatkan tulang serta meningkatkan jisim dan kekuatan otot.

Pengambilan nutrien seperti kalsium, vitamin D, magnesium dan zink dapat mengurangkan risiko osteoporosis dan mengekalkan kesihatan tulang.

MASALAH DUNIA

Bagi Dr. Chan Chee Howe yang telah lama menjadi pakar ortopedik dan pakar bedah trauma, penyakit tulang adalah masalah kesihatan yang dihadapi di seluruh dunia terutamanya dengan peningkatan usia penduduk.

“Asia sahaja akan mencatatkan 50 peratus daripada keseluruhan kes retak tulang pinggul menjelang tahun 2050.

“Selain peningkatan usia penduduk, kadar aktiviti fizikal yang semakin rendah dengan peningkatan usia turut meningkatkan kadar kemerosotan tulang,” jelasnya.

Katanya lagi, senaman seperti berjoging, berjalan dengan pantas dan tenis dapat membantu mengekalkan kekuatan tulang serta memastikan tulang berada dalam keadaan baik.

Dr. Chee Howe menyatakan badan manusia memerlukan antara 800 hingga 1,000 miligram (mg) kalsium setiap hari.

“Golongan wanita yang menghadapi risiko osteoporosis yang lebih tinggi perlu memastikan keperluan kalsium ini dipenuhi untuk mengelakkan masalah struktur tulang.

“Mereka perlu minum lima gelas susu setiap hari memandangkan segelas susu hanya mempunyai 200mg kalsium,” katanya.

Beliau turut mendedahkan satu pertiga daripada mereka yang telah melangkau usia 80 tahun menghadapi risiko keretakan tulang, bukan sahaja akibat tulang rapuh malahan akibat otot yang lemah.

Pencegahan menjadi cara utama untuk mengatasi masalah osteoporosis tetapi langkah segera perlu diambil bagi memastikan usia emas tidak dihabiskan dengan pelbagai masalah tulang.

Menurut Dr. Chee Howe, ibu yang menyusu juga tidak terkecuali daripada masalah tulang dan perlu memastikan diri mereka mendapat kalsium secukupnya.

“Wanita melebihi umur 50 tahun pula perlu menjalani ujian tulang secara berkala bagi memastikan tahap kesihatan tulang dan menilai cara pengurusan tulang yang terbaik,” tegasnya.

CORTICOL :
 
1. Juga dikenali sebagai tulang tumpat yang membentuk lapisan perlindungan luar kepada semua tulang kerangka badan
 
2. Struktur padat dan keras
 
3. Mewakili hampir 80 peratus jisim tulang
 
4. Ketahanan tinggi terhadap tekanan melengkung atau hentakan
 
5. Kurang liang, antara lima hingga 10 peratus sahaja.

TRABECULAR :
 
1. Juga dikenali sebagai tulang span
 
2. Kurang tumpat, lebih elastik
 
3. Wakili 20 % jisim tulang
 
4. Mewakili sebahagian besar tulang di tengkorak, tulang rusuk, pelvis dan tulang belakang
 
5. Struktur seperti sarang lebah (honeycomb)
 
6. Banyak liang antara 50 hingga 90 peratus.

PROGRAM KESIHATAN TULANG
Anlene keluaran Fonterra Brands (Malaysia) yang merupakan antara jenama utama susu dengan kandungan tinggi nutrien tulang, telah mengadakan Program Pemeriksaan Kesihatan Tulang secara percuma yang bermula pada Ogos 2006.

Lebih 14,000 warga Malaysia telah mengambil bahagian dalam program tersebut dan membekalkan Anlene dengan data mengenai keadaan kesihatan tulang rakyat negara ini.

Daripada jumlah tersebut, 61 peratus merupakan wanita dan 39 peratus lagi lelaki di antara umur 30 hingga 90 tahun.

Program berkenaan turut berjalan di seluruh negara, bandar atau luar bandar, dengan penyertaan bangsa Melayu, Cina, India dan bangsa-bangsa lain, termasuk golongan imigran.

Data dari setiap peserta juga disimpan rapi dengan persetujuan setiap individu, tanpa sebarang petanda khas yang boleh mengenal pasti pemilik maklumat yang direkodkan itu.

Pakar Diet dan Pengurus Penyelidikan Nutrisi, Fonterra Brands Ltd., Aaron Lambert menjelaskan program dengan kerjasama GE healthcare itu berjaya membantu peserta menilai dan merancang penjagaan kesihatan tulang mereka.

“Dengan menggunakan alat GE Achilles Ultrasanometer, penganjur program berkenaan dapat menilai tahap kesihatan tulang berdasarkan ketumpatan tulang tumit kaki.

“Selain imbasan tulang percuma, peserta juga diberikan maklumat mengenai kesihatan tulang, penilaian risiko masalah tulang dan perundingan percuma dengan pakar,” katanya.

Menurut Lambert, tulang tumit kaki amat sesuai sebagai penanda aras kesihatan tulang kerangka badan kerana fungsinya yang menampung berat badan dan menjadi antara yang paling awal cedera jika terdapat masalah pada tulang.

Tambahnya, tulang tumit juga mempunyai jumlah tulang trabecular yang banyak dan mudah diimbas kerana tidak diliputi terlalu banyak tisu dan otot.

Lambert menyatakan dirinya terkejut dengan hasil analisis data yang diperoleh daripada program berkenaan.

“Satu daripada dua wanita (50 peratus) daripada wanita melebihi umur 50 tahun berada di kalangan mereka yang mempunyai risiko lebih tinggi menghidap penyakit tulang berbanding golongan dewasa normal.

“Penyakit tulang sememangnya satu masalah besar bagi rantau Asia dan Malaysia tidak terkecuali kerana ramai rakyat negara ini tidak mendapat nutrien tulang secukupnya,” dakwanya.

Walaupun program berkenaan hanya untuk meningkat kesedaran umum dan bukan untuk diagnosis penyakit tulang, Lambert menegaskan tindakan segera perlu diambil untuk membekalkan nutrien secukupnya kepada tulang.

Selain bekalan nutrien, tahap penyerapan nutrien juga penting. Pengambilan secukupnya nutrien seperti kalsium menjadi sia-sia jika tidak diserap oleh tulang.

Kitaran pembaharuan tulang merupakan antara cara semula jadi tulang mengukuhkan strukturnya dengan menggantikan sel tulang yang lama dengan sel tulang baru.

Bukan seperti batu, sel-sel tulang perlu dibekalkan dengan nutrien secukupnya bagi memboleh proses pembaharuan ini diteruskan dan mengelakkan kemerosotan struktur kerangka badan.

Analisis program berkenaan turut menunjukkan bangsa Melayu merupakan yang paling banyak mencatatkan purata markah berisiko tinggi.

Bangsa India yang menjadikan susu sebagai antara menu harian mereka pula didapati paling kurang mencatatkan purata markah berisiko tinggi.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...